Tuesday, June 30, 2015

Surat Sultan Abdullah Mukarram Shah Kedah kepada Francis Light (MS40320/10 folio 57) berkenaan penghantaran Cik Awi untuk menerima khabar rahsia

Al-Mustahaqqah

Surat kasih sayang dan tulus ikhlas yang tiada berputusan daripada beta sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang. 

Maka adalah surat sahabat beta beri mari pada Saudagar Raja itu sudahlah sampai kepada beta. Maka beta buka surat itu daripada meterinya, beta tatap dalam surat sahabat beta, tersebut dalamnya banyak khabar rahsia, tiada boleh dibubuh dalam surat sahabat beta, tiada percaya. 

Maka sahabat beta minta beri pergi orang harapan daripada beta dengan segeranya. Maka inilah beta beri pergi anak beta itu Cik Awi, dapatkan sahabat beta. Maka segala rahsia tutur kata daripada sahabat beta itu bolehlah anak beta itu bawa mari sampaikan kepada beta. 

Maka terlebih baiknya beta berjumpa dengan sahabat beta ber<tu>tur kata sendiri. Maka sekarang ini sahabat beta di dalam susah, apatah daya beta. Maka sangatlah harap beta hendak berjumpa adukan hal beta kepada sahabat beta. Inilah beta nyatakan kepada sahabat beta. 

Perbuat surat tiga haribulan Jamadil Akhir, hari Jumaat. Tamat.

No comments:

Post a Comment