Friday, March 13, 2015

Surat Tengku Keraeng Langat Darul Salam (Johor-Riau?) kepada Francis Light (MS40320/1 folio 15) tentang permintaan opium

Ya Qadiya al-Hajat 


(ha-dhal-ya/hazihi?) sahifah al-khulus wa tuhfah al-mahabbah yang terbit daripada fuad al-zakiyyah, termaktub dalamnya kertas al-abyad yang telah termazkur dalamnya menyatakan tabi[k] daripada Seri Paduka Tengku Keraeng, yang ada istirehat al-khair di dalam negeri Langat Darul Salam, barang disampaikan Tuhan seru alam kiranya, datang kepada wajah diraja sahabat kita Gurnador di Pulau Pinang, yang menjabat tadbir al-ihsan daripada pihak pekerjaa[n] kompeni Inggeris di dalam negeri Pulau Pinang, yang amat budiman lagi arif serta bijaksana atas melakukan sesuatu pekerjaa[n] dan bertambah-tambah kasih sayang atas segala bala tenteranya. Maka makin bertambah-tambah kuat dan teguh baginya pada demikian itu wa ba’du. 

Kemudian daripada itu, maka adalah kita memberi sekeping warkah al-ikhlas serta putih hati kepada sahabat kita akan jadi pergantian daripada pertemuan kita kepada sahabat kita. Maka adalah kita minta tolong kepada sahabat kita barang dua peti opiu[m] kerana orang kita hendak kita pindahkan, boleh duduk bersama-sama sahabat kita di Pulau Pinang kerana tiadalah lainnya Pulau Pinang, Langat dan Johor. Maka adalah kita sangat harap yang amat kabir kepada sahabat kita akan menolongi syafaat hajat kita, daripada hal kita berkehendak kepada sahabat kita, dalam itu pun sangatlah haraplah kita kepada sahabat kita jua adanya.

Dan lagi ahwal akan surat sahabat kita yang dibawa nakhoda dan lagi surat yang di bawah Dayang (sin-lam-ya-fa/Salip?) telah sampailah kepada kita dengan sempurnanya. Maka segala yang tersebut dalamnya fahamlah kita segenap perkaranya. 

Termaktub dalam negeri Langat daripada timbul bulan Rejab pada sehari Jumaat. 

No comments:

Post a Comment