Sunday, March 8, 2015

Surat Sultan Selangor kepada Francis Light (MS40320/1 folio 29) tentang barang dagangan ke Pulau Pinang iaitu garam dan tembakau jawa

Bahawa ini surat tulus dan ikhlas serta putih hati yang amat hening dan jernih, iaitu daripada Duli Yang Dipertuan yang semayam di Bukit Selangor Yang Maha Mulia. Barang disampaikan Tuhan seru ‘alam apalah kiranya datang kepada sahabat kita iaitu Senyur Gurnador Pulau Pinang yang amat setiawan dan artawan serta berkasih-kasihan sahabat handai dan taulannya dan sangatlah masyhur warta yang ihsan kepada segala negeri di Barat dan di Timur itu. Dan kita pun sangatlah suka cita dalam fuad al-zakiyyah itu serta sihat dan afiat ‘ala al-dawam, amin thumma amin, wa ba’du. 



Kemudian daripada itu, barang takrif kiranya sahabat kita itu, adalah kita menyuruhkan sebuah sulab, nama nakhodanya nakhoda Romak ke Pulau Pinang, mendapatkan sahabat kita, serta ada membawa dagangan serba sedikit, ada garam sedikit dan tembakau jawa ada sedikit, melainkan kita serahkanlah kepada sahabat kita akan menolong membicarakan dagangan kita dibawanya oleh Nakhoda Romak itu. 

Hendaklah sahabat kita sekali ini bersungguh-sungguh menolong bicarakan dagangannya, dan daripada barang suatu hal ahwal sakit dan sukarnya di Pulau Pinang itu serta suruhkan dengan segeranya Nakhoda Romak itu berbalik Selangor serta bicarakan muati beras barang berapa muatan sulab kita itu. Hubaya-hubaya jangan tiada Senyur Gurnador tolong daripada dagangan dibawanya surat beras muatan sulab itu. 

Dan lagi adalah pencalang Syahbandar Selangor kita dengar ada di Pulau Pinang itu, yang dibawa Ismail itu, hendaklah sahabat kita suruhkan belayar ke Selangor dalam bulan Zulqaedah ini juga dengan segeranya. Serta muati juga beras barang semuat pencalang itu, jangan tiada kerana kita di Selangor masa ini adalah kekurangan daripada makanan beras itu. 

Maka inilah haraplah kita kepada sahabat kita bicarakan beras muatan sulab Nakhoda Romak itu serta pencalang Shahbandar Selangor itu bicarakan seboleh-bolehnya beras itu. Maka satu pun tiada tanda hayat surat suci hati kita kepada sahabat kita Senyur Gurnador itu, hanyalah gula batu satu kerajang tiada sepertinya, tanda tulus ikhlas juga adanya. 

Tamat. Diperbuat surat kepada delapan belas haribulan Zulqaedah dan kepada hari Khamis. Intaha al-kalam.

[Di belakang surat]

Raja Selangor

88
King Selangore
Read, 2 Sept

No comments:

Post a Comment