Sunday, March 8, 2015

Surat Sultan Selangor kepada Francis Light (MS40320/1 folio 26) tentang masalah antara Kapten Scott dan Sitam, serta hutangnya kepada Kapten Thomas Forrest

Al-Shams wa al-Qamar 



Bahawa inilah surat tulus dan ikhlas serta suci putih hati iaitu daripada hadrat Duli Yang Dipertuan Yang Maha Mulia semayam di atas takhta kerajaan di dalam negeri Selangor Darul Khusus, barang disampaikan Tuhan seru alam apalah kiranya kepada sahabat kita Gabenor yang memerintahkan negeri kota Pulau Pinang, dan ialah yang amat setiawan dan artawan serta dengan arif bijaksana daripada melakukan kasih-berkasihan sahabat-bersahabat, makin lama makin terlebih mahabatnya kepada segala dagang senteri yang pergi datang. Maka masyhurlah warta ihsannya kepada negeri yang lain-lain qarib wa al-ba’id, wa ba’du. 

Kemudian daripada itu akan hal seperti bicara Kapitan Scott dengan Sitam itu melainkan sahabat kitalah membicarakannya supaya lekas berselesaian orang yang antara kedua itu. Adapun pekerjaan itu tiadalah dengan setahu kita. Adapun tatkala itu kita pergi ke Melaka, sebab itulah maka kita pinta yang kejelasannya kepada sahabat kita. 

Adapun sekarang yang hutang Kapitan Scott kepada Sitam itu melainkan bayarlah kepada Sitam, yang kita punya hutang kapitan Thomas Forrest itu tiadalah kita salahkan, asal sudah tentu perselesaian Kapitan Scott dengan Sitam itu, kemudian kita selesaikanlah yang kita punya hutang, asal sudah ada yang ketentuannya, sekarang lain yang punya hutang, lain yang membayarnya. Lagipun Sitam itu dianya satu dagang. Di dalam pada itupun jikalau sudah patut kepada sahabat kita atau sudah jadi adat kepada orang banyak, lain yang berhutang, lain yang membayar, melainkan sudahlah itupun bolehlah kita ketahui adat yang serupa itu. 

Intaha al-kalam bi al-khayr. Wa al-salam. Tersurat kepada sehari bulan Rabi’ al-Akhir, hari Isnin. Ma’ruf.

[Di belakang surat]

Ini surat kepada Gurnador.

No comments:

Post a Comment