Sunday, March 8, 2015

Surat Sultan Ibrahim (Selangor) kepada Francis Light (MS40320/1 folio 24) 21 Mei 1787 tentang perjumpaan dengan Francis Light dan keinginannya pergi ke Acheh

Al-Shams wa al-qamar 



Warkah al-ikhlas serta suci putih hati iaitu daripada hadrat Seri Paduka Sultan yang semayam di atas takhta singgahsana kerajaan di dalam negeri Selangor Darul Khusus. Barang disampaikan Tuhan semesta alam kepada sahabat kita Senyur Gubernador yang memerintahkan di dalam bandar negeri kota Pulau Pinang Darul Aman, ialah yang amat arif bijaksana daripada melakukan kesukaan dengan segala handai taulannya. Maka masyhurlah warta ihsannya kepada tiap-tiap negeri yang lain, wa ba’du.

Kemudian daripada itu, maka adalah kita menyuruhkan Penghulu Jeram itu mendapatkan sahabat kita dengan satu sampan-sampan. Adapun kepada niat hati kita selama ini serta dengan mudah-mudahan kita hendak berjumpa dengan sahabat kita, serta kita hendak bertanyakan seperti kehendak kita dahulu, jikalau kan ada pun hendaklah kita ketahui, jikalau kan tidak sekalipun hendak jugalah kita ketahui. 

Sebab itulah maka sangat kita hendak berjumpa dengan sahabat kita supaya boleh kita mendengar perkhabaran yang sah daripada sahabat kita, lagi jangan ketaksiran kita kepada sahabat kita. 

Adapun niat hati kita hendak pergi ke Acheh, pergi meminta tempat kepada Raja Acheh serta meminta kici akan tempat-tempat orang-orang kita. Kemudian suatu pun tiada burhan al-hayat, hanya timah ada dua biji buku. 

Pergi surat kepada tiga hari bulan Sya’ban, hari Isnin. Tamat al-kalam, sanah 1201. 

[bahagian tepi]

Sebagai lagi, adapun maka tiada kita lalu kepada sahabat kita kerana susah menyeberang. Jikalau dari Pulau Pinang, lebih baik menyeberang dari Pulau Sembilan kerana musim selatan. Sebagai lagi, jikalau boleh, dengan bolehnya kita hendak berjumpa dengan sahabat kita di laut, barang di mana sahabat kita suka.

[Di belakang surat]

Raja Selangor
23 May 87

No comments:

Post a Comment