Tuesday, March 3, 2015

Surat Sultan Ibrahim (Selangor) Kepada Francis Light (MS40320/11 folio 40) 7 Disember 1785, 4 Safar 1200 meminta dihantar bendera kompeni Inggeris

Al-Shams wa al-qamar  

Bahawa ini surat tulus serta ikhlas suci hati yang putih iaitu daripada hadrat Maulana Paduka Seri Sultan Ibrahim Khalifah al-Mukminin yang semayam di atas takhta singgahsana kerajaan di dalam daerah bandar negeri Selangor Darul Khusus, barang disampaikan Tuhan seru sekelian alam, apalah kiranya datang kepada sahabat kita Jenderal yang memerintahkan di dalam bandar negeri Benggala serta  dengan teluk rantaunya, ialah yang setiawan, bijaksana daripada melakukan sahabat bersahabat dengan handai taulannya, qarib wa al-ba’id, lagi murah kepada segala fakir miskin adalah seumpama sepohon kayu yang besar di tengah padang, lagi rendang dahannya, lagi harum bau bunganya, dengan lazat rasa buahnya. Itulah tempat pernaungan segala hamba Allah, menghilangkan lapar dahaganya, wa ba’dah.


Daripada itu maka adalah kita melayangkan sekeping kertas kepada sahabat kita menyatakan hal seperti surat kita dahulu yang dibawa oleh Kapitan Light kepada sahabat kita, perjanjian Kapitan Light dengan kita umur tiga bulan. Ia datang ke Selangor sekarang ini, suatu khabar pun tiadalah kita dapat.  Di dalam pada itu, maka berjumpalah kita dengan satu Kapitan Banggul namanya. Maka kita kasi pula satu surat ini. Syahdan barang tahu kiranya sahabat kita jikalau ada belas kesian serta kasih sayang lagi kepada negeri Selangor serta dengan kita, melainkan kita pintalah seboleh-bolehnya kepada sahabat kita bendera Kompeni Inggeris serta dengan pesan itulah akan tanda kita bersahabat. Dan lagi, seperti mana yang keluar dari dalam negeri Selangor itu seperti timah dan lada dan lilin dan rotan, sekeliannya itu kita berikan kepada sahabat kita dengan sesuci-suci hati kita memulangkan sekaliannya itu serta hendak bersahabat. Sebab itulah maka kita perbuatkan surat perjanjian ini, kita kasikan kepada sahabat kita bahawa sungguh dengan nyatanya. Maka adalah cap kita di atas kertas ini.

Tersurat di atas Bukit Selangor kepada empat hari bulan Safar kepada hari arba’ waktu jam pukul tiga. Tarikh sanah 1200.  Tamat al-kalam, bi al-khair wa al-salam.

No comments:

Post a Comment