Tuesday, March 24, 2015

Surat Saudagar Rahsia Raja Kelantan kepada Hakim Bandar Pulau Pinang (MS40320/1 folio 41) tentang permintaan untuk kapal masuk berniaga di Kelantan dari Pulau Pinang

Ya Qadiy al-Hajat 

Alhamdulillah min (alif-lam-alif-kho-mim-alif-ra/al-akhmar?) fi qulub al-mu`minin, wa wa’a fi kunuz fi sudur al-muhibbin, wa ‘ala alihi wa ashabihi tariq al-ansar wa al-muhajirin. Telah selesailah daripada hamid dan thana ke hadrat Tuhan (ilah?) (al-ghina?), maka diidafatkan dalilnya, salam yang dihiasi dengan berapa madah dan thana` daripada ayahanda saudagar di negeri Kelantan, iaitu Rahsia Raja, barang diwasalkan Allah apa kiranya ke hadrat yang salim wa sahib al-ra`fath al-‘amim, iaitu anakanda hakim bandar yang (ampunnya/empunya?) perintah di bawah Gurnador dalam Pulau Pinang, khallad Allah mulkahu wa ihsanahu ila yaum, amin wa ya khair al-nasirin, wa ba’dahu. 


Barang takrif anakanda ahwalahu adalah ayahanda mari dari Kedah duduk di Patani berapa lama, maka sekarang ini Raja Kelantan ambil ayahanda mari Kelantan, duduk di Kelantan, suruh bicarakan perintah perniaga dalam Kelantan ini. Maka inilah ayahanda memberi surat akan anakanda perintah perniagaan dalam Kelantan ini, dagangannya adalah terlebih sedikit daripada Terengganu, pertama lada, keduanya emas urai. Maka kapal tiada masuk. 

Maka jikalau ada kiranya kasih anakanda, minta anakanda tolong bicara dengan Gurnador Pulau Pinang itu kalau-kalau ia ma[h]u beri kapal masuk dalam negeri Kelantan ini berniaga tiap-tiap tahun kerana lada banyak, tiada habis tiap-tiap tahun. Maka jadi ayahanda minta anakanda cuba bicarakan kerana Terengganu dengan Kelantan ini tiada berapa jauh hingga sehari pelayaran kapal. Maka jikalau kiranya ma[h]u Gurnador itu hendak beri mari kapal itu, minta anakanda balas surat ayahanda ini pada orang membawa surat ayahanda ini juga, boleh ayahanda himpun taruh lada dan emas itu. Maka akan harga lada pun boleh ayahanda kurangkan daripada harga Terengganu hingga setahun dua itu, jikalau mari kapal itu. Ahwal inilah ayahanda maklumkan. 

Maka suatu pun tiada burhan al-hayat, hanyalah doa fi al-lail wa al-ayyam.Tamat. 

[Di bahagian tepi surat] 

Sebermula minta anakanda tanyakan kepada Gurnador hal ayahanda masa duduk di kayang bersama-sama paduka marhum itu, boleh Gurnador itu tahu perintah ayahanda ini.

[Di belakang surat]

Ini surat daripada Rahsia Raja dari Negeri Kelantan.

No comments:

Post a Comment