Thursday, March 12, 2015

Surat Dato Kaya Batu Bahara kepada Francis Light (MS40320/1 folio 8) tentang budak-budak yang lari ke Pulau Pinang dan kes pembunuhan Kapten Morris

Wa al-Shams Wa al-Qamar 

Bahawa ini surat tulus ikhlas muafakat yang tiada berkesudahan selagi ada peredaran cakerawala matahari dan bulan, daripada kita Dato` Kaya Batuah yang duduk dalam Kuala Batu Bahara Kampung Bukuk, barang disampaikan Tuhan yang memiliki sekalian alam apalah kiranya kepada sahabat kita Senyur Gurnador yang memerintah bandar Pulau Pinang yang aqil bijaksana, telah masyhur sampai ke sana sini kepujian memeliharakan segala dagang yang pergi mari, wa ba’du. 

Daripada itu, ahwal adalah sahabat kita menyuruhkan Nakhoda Cuandam membawa surat telah sampai kepada kita dengan sempurnanya. Maka kita buka daripada lipatannya serta serta kita tatap genap perkaranya dan serta ada hadiah daripada sahabat kita sehelai permaidani. Telah menerima kasihlah kita banyak-banyak kepada sahabat kita, akan Nakhoda Cuandam itu telah selesailah daripada genap perkaranya dalam tangan kita. Maka inilah kita suruh berlayar mendapatkan sahabat kita akan hal seperti surat budak-budak lari yang dikirimkan oleh sahabat kita. Telah sudahlah kita muafakat dengan Dato` Keempat Suku. Maka kata Dato` Keempat Suku akan hal budak dari Batu Bahara ke Pulau Pinang, dari Pulau Pinang ke Batu Bahara dia bubuh tebusannya empat ringgit kepada seorang. Maka inilah kita perbuat surat nyatakan kepada sahabat kita akan hal hutang kita budak yang lari itu. Pertama-tama Si Kasir hutangnya tiga belas riyal dan Maharaja Lela lima belas riyal dan Salim delapan belas riyal dan Si Jambul empat belas riyal dan Sayid Cik dan Si Long keduanya itu teman akan orang Jawa itu tiada ia berhutang. Kemudian daripada itu maka adalah datang sebuah kapal mari ke Batu Bahara orang Inggeris, nama kapitannya Kapitan Morris namanya, diamuk orang dalam kapal. Pertama yang mengamuk itu namanya tandil besar, namanya Senulah dan segani namanya Akstin dan (kanil?) namanya Sakir dan serang namanya Fakkira ialah yang mengamuk Kapitan Morris. Setelah sampai ke Batu Bahara maka tiada ada kapitan kapal itu orang lihat dan perniagaannya pun lain daripada kapitan yang telah lalu itu. Maka Dato` tangkap tanya ialah sungguh ia mengamuk. Maka oleh Dato` Bandar dan Orang Kaya Muda dan serta Dato` Keempat Suku diambilnya kapal itu. Maka kita sekali-kali tiada tahu. Maka adalah kita ambil seorang serang namanya Fakkira. Kita serah beri ke dalam tangan Nakhoda Cuandam. Kita kirim kepada sahabat kita Senyur Gurnador akan hal segala kelasi habis lari ke sana sini, tiada dapat oleh kita. Sebagai lagi, kita minta kepada sahabat kita janganlah berputusan kapal permari ke Batu Bahara melainkan kita aku daripada barang suatu halnya, jikalau hilang satu kita ganti sepuluh. Sebagai lagi, jikalau ada orang Batu Bahara hendak menyambut kepada sahabat kita, jangan sahabat kita beri kerana orang jahat, jikalau sahabat beri, jangan kita dimasukkan oleh sahabat kita daripada jahat baiknya. Tamat.

[Di belakang surat]

Letters Kia Battubara
4th November - concerning the murder of Capt Morris

No comments:

Post a Comment