Sunday, March 8, 2015

Raja Abdullah (Sultan Ibrahim ibn Raja Lampuk, Johor?) kepada Francis Light (MS40320/1 folio 50) 1793/94 tentang dakwaan merosakkan perahu

Ya Rahman 

Alhamdulillah rab al-‘alamin. Maka inilah warqah al-ikhlas yang termaktub dalamnya, serta suci putih hati daripada Raja Abdullah. Barang disampaikan Allah Subhanahu Wa Ta’ala apalah kiranya kepada sahabat sahaya Dato` Gurnador yang memerintahkan negeri Pulau Pinang Darul Aman, yang telah beroleh pangkat dan kebesaran serta kemuliaan daripada Tuhan Malik al-Manan, lagi amat bijaksana pada mengasihani sekalian dagang yang segenap negeri. 



Syahdan daripada itu, akan hal sahaya malayangkan sekeping warqah ini kepada sahabat sahaya kerana sahaya mendengar khabar datang dari Pulau Pinang mengatakan sahaya membinasakan orang dan perahu sahabat sahaya, melainkan sahaya minta tolong kepada sahabat sahaya periksakan dengan seboleh-bolehnya, jikalau ada sungguh perbuatan sahaya kepada sahabat sahaya yang demikian itu, melainkan sahaya minta dihukumkan juga kepada sahabat sahaya yang bagaimana patut hukum kepada sahabat sahaya, demikianlah sahabat sahaya hukumkan di atas sahaya. 

Dan lagi, jikalau tiada sungguh perbuatan sahaya yang demikian itu, melainkan sahaya minta kepada sahabat sahaya dengan seboleh-bolehnya, orang yang berkhabar fitnah kepada sahabat sahaya itu supaya boleh nyata kepada sahabat sahaya salah dan benar sahaya, kerana tiada sekali-kali sahaya tahu akan pekerjaan ini, melainkan haraplah sahaya akan periksa sahabat sahaya dengan sebolehlahnya. 

Tamat. Sanah 1208.

[Di belakang surat]

Raja Abdullah

28

No comments:

Post a Comment